PERMODELAN RERUANG GIS DALAM PERANCANGAN DAN PENGURUSAN SUMBER ASLI WAN YUSRYZAL BIN WAN IBRAHIM UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
ii Saya akui karya ini adalah hasil kerja saya sendiri kecuali nukilan dan ringkasan yang tiap-tiap satunya saya jelaskan sumbernya. Tandatangan :... Nama Penulis : WAN YUSRYZAL BIN WAN IBRAHIM Tarikh : 19 Januari 2008
iii DEDIKASI Untuk keluarga tersayang dan teman-teman yang mendoakan kejayaan saya
iv PENGHARGAAN Alhamdulillah, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang Maha Suci bagi Allah, Pentadbir Sekalian Alam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhamad S.A.W. Dengan izin dan kurnianya projek sarjana ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Khas buat penyelia Projek Sarjana, Prof. Dr. Ahris Yaakup di atas bimbingan, nasihat dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh kajian ini dijalankan. Jutaan terima kasih diucapkan dan semoga ilmu dan pengalaman yang dicurahkan akan terus berkembang kelak. Ribuan terima kasih diucapkan kepada Prof. Madya Dr. Ahmad Nazri bin Muhamad Ludin selaku pembaca dan pemeriksa yang telah memberi tunjuk ajar serta memberi cadangan baik bagi menambahkan kualiti penyelidikan ini. Tidak lupa juga kepada Prof. Dr. Ismawi Hj. Zen daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang juga telah memberikan cadangan dan panduan di dalam menyempurnakan penyelidikan ini. Terima kasih juga kepada Encik Ahmad Tajuddin Kechik di atas pandangan dan idea yang diberikan serta sokongan yang berterusan yang diberikan. Seterusnya kepada semua pensyarah di Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah yang telah menabur ilmu seikhlasnya dan secara langsung membolehkan kajian ini dijalankan dengan lancar. Penghargaan juga dirakamkan kepada pensyarah-pensyarah yang memberi peluang dalam memberikan pendedahan dan pengalaman berkerja di UTM. Jasamu tetap dikenang dan semoga semuanya dirahmati oleh Allah S.W.T dan sihat sejahtera sentiasa. Berbanyak terima kasih juga kepada pihak Majlis Daerah Cameron Highlands, Jabatan Perhutanan serta badan-badan lain yang terlibat yang telah membekalkan maklumat serta pandangan masing-masing semasa kajian dijalankan. Kepada keluarga tersayang yang sabar dan sentiasa mendoakan kejayaan saya. Akhir sekali penghargaan ini juga ditujukan kepada teman seperjuangan di atas sokongan dan bantuan yang diberikan. Penghargaan khas kepada rakan-rakan dan warga UTM seluruhnya kerana memberi sokongan moral yang tinggi serta menjadikan setiap saat hidup di kampus ini penuh bersemangat untuk ditempuhi.
v ABSTRAK Tekanan pembangunan telah merosakkan persekitaran semulajadi termasuk kawasan-kawasan tanah tinggi. Permodelan dan analisis reruang meningkatkan kecekapan dalam penilaian alam sekitar. Sistem Maklumat Geografi (GIS) adalah di antara alat yang efektif dalam melakukan penilaian tersebut seterusnya membantu dalam membuat keputusan bagi tujuan pengurusan dan perancangan alam sekitar. Penyelidikan ini cuba menggabungkan teknik Analisis Pelbagai Kriteria (Multicriteria Analysis-MCA) dan Batasan Persekitaran Terakhir (Ultimate Environmental Threshold-UET) dengan keupayaan GIS dalam mencapai keputusan bagi tujuan perancangan dan pengurusan sumber asli semulajadi. Objektif utama kajian adalah untuk menentukan batasan aktiviti pembangunan dan aktiviti sosioekonomi di kawasan sumber asli semulajadi yang meliputi Daerah Cameron Highlands. Terdapat dua peringkat analisis yang dilakukan dalam penyelidikan ini. Peringkat pertama analisis yang dilakukan adalah penentuan tahap sensitiviti sumber asli semulajadi menggunakan analisis reruang melalui kaedah MCA. Analisis di peringkat kedua adalah bagi melihat batasan aktiviti pembangunan dan aktiviti sosioekonomi yang ditentukan melalui teknik UET. Klasifikasi kepada aktiviti yang dibenarkan dan tidak dibenarkan ditunjukkan secara taburan reruang pada segenap kawasan Daerah Cameron Highlands. Analisis perbandingan batasan aktiviti dengan guna tanah semasa serta guna tanah cadangan menunjukkan terdapat kawasan sumber asli semulajadi sensitif telah diteroka akibat daripada pembangunan fizikal dan pertanian sedia ada. Dengan itu, tekanan daripada aktiviti pembangunan dan pertanian haram telah memusnahkan sumber asli di kawasan tanah tinggi. Pengintegrasian kaedah MCA dan UET telah melengkapkan maklumat yang perlu dalam membentuk strategi perancangan dan pengurusan sumber asli semulajadi di kawasan tanah tinggi.