BAB LIMA PENDUDUK DAN ALAM SEKITAR 5.1 OBJEKTIF PELAJARAN a. Mengenal pasti konsep manusia sebagai penduduk bumi. b. Memahami peranan alam sekitar sebagai sumber kepada manusia. c. Memahami dan mengenal pasti daya tampung sumber alam terhadap perkembangan penduduk. d. Mengenal pasti keperluan untuk meneroka sumber. e. Memahami kesan daripada pertumbuhan sumber terhadap alam sekitar. f. Mengenal pasti langkah bagi mengatasi kesan perubahan penduduk ke atas alam sekitar. 5.2 KONSEP MANUSIA SEBAGAI PENDUDUK Kehidupan manusia sangat berkait rapat dengan alam sekitar. Darjah keberkaitan manusia bergantung kepada tahap kemajuan mereka. Suku kaum asli yang hidup terpencil sangat bergantung kepada alam semula jadi manakala masyarakat bandar pula mempunyai interpretasi dan interaksi yang tersendiri mengenai sumber yang ada. 5.3 ALAM SEKITAR SEBAGAI SUMBER KEPADA MANUSIA Alam sekitar membekalkan banyak sumber kepada kita meliputi ruangan udara, tanah air dan sebagainya. Alam sekitar mempunyai beberapa komponen utama yang meliputi komponen seperti yang berikut: a. Tenaga matahari b. Atmosfrea c. Biosfera d. Litosfera e. Hidrosfera.
Komponen ini memainkan peranan yang sangat penting bagi menjamin keberlangsungan alam. Rajah di bawah menunjukkan interaksi yang berlaku di dalam alam sekitar. Biosfera Komponen biosfera terdiri dari lokasi di mana semua benda hidup di permukaan bumi sama ada di dasar lautan hingga ke lapisan atmosfera. Biosfera mengandungi flora dan fauna yang membekalkan: - tumbuh-tumbuhan - Tanaman - Hidupan liar - ternakan Elemen biosfera ini perlu diolah oleh manusia untuk dijadikan sebagai bahan mentah industri, makanan, pakaian, peralatan, tempat tinggal, bahan dagangan dan sebagainya. Aktiviti asal manusia berkaitan dengan biosfera ialah memburu, memungut hasil, membalak, bertani, berladang dan menternak. Pada zaman moden corak interaksi manusia dengan biosfera banyak dipengaruhi oleh teknologi semasa mengikut tempat dan tahap tamadun.
Litosfera Gambar 1: Hubung kait antara komponen dalam alam sekitar Litosfera merupakan komponen yang membekalkan sumber mineral dan tanah. Litosfera ialah lapisan permukaan bumi yang pejal dan keras. Lapisan tanah juga disebut sebagai pedosfera dan batuan yang merupakan sumber pelbagai jenis logam dan bukan logam. Litosfera banyak dipengaruhi oleh bentuk geomorfologi permukaan bumi seperti gunung, bukit, lurah, lembah, dataran tinggi, tanah pamah, teluk, pinggir laut, sungai, pulau dan sebagainya. Manusia menggunakan tanah yang sesuai untuk pertanian, petempatan desa dan bandar, pembinaan kilang industri, pembinaan infrastruktur untuk kemudahan sosial dan ekonomi. Di atas dan di bawah permukaan bumi, manusia melombong mineral (tenaga fosil) untuk kegunaan industri dan kehidupan. Pelbagai jenis mineral penting dapat diperoleh di dalam lapisan litosfera untuk kegunaan industri seperti bijih timah, bijih besi, bauksit, kuprum, uranium, petroleum, arang batu, gas asli, wolfram, mangan dan sebagainya. Hidrosfera Hidrosfera terdiri daripada air yang berada di permukaan bumi contohnya, tasik, sungai, alur, wap air dalam atmosfera, ais, air bawah tanah, glasier dan laut. Air boleh wujud dalam bentuk cecair, wap, gas dan pepejal. Sebahagian besar dari permukaan bumi dalam bentuk cecair
dengan lautan dan hidupan akuatik/marin di dalamnya. Air di permukaan bumi (terutama laut) membekalkan wap di atmosfera yang akan kembali ke permukaan bumi dalam bentuk kerpasan (hujan dan salji). Gambar 1: Hubung kait antara komponen dalam alam sekitar Air berperanan sebagai agen penyederhana suhu di permukaan bumi dan sebagai sumber air bersih kepada kehidupan manusia. Penerokaan air untuk kegunaan domestik, industri dan sumber tenaga hidro elektrik, tenaga ombak dan tenaga pasang surut menjadikan hidrosfera adalah punca tenaga alternatif pada masa hadapan. Negara yang kurang mempunyai sumber air tawar untuk kegunaan domestik menyahgaram air laut untuk memperoleh air tawar dalam kehidupan. Contoh negara yang melakukan penyahgaram air laut adalah negara di Arab Saudi. Atmosfera Atmosfera merupakan satu lapisan gas nipis yang menyelubungi bumi dengan ketinggian kurang dari 600 km ke atas dari permukaan bumi. Lapisan ini mengandungi 78 % nitrogen, 28 % oksigen, 0.9% argon dan 0.036% karbon dioksida. Perbezaan tekanan udara dari satu tempat ke satu tempat akan menyebabkan berlakunya tiupan angin yang menghasil serta
mengawal bentuk hujan dan ribut (penentu iklim dan cuaca wilayah). Iklim dan cuaca berkait rapat dengan kegiatan pertanian serta kehidupan manusia 5.3 DAYA TAMPUNG SUMBER ALAM TERHADAP PERKEMBANGAN PENDUDUK Konsep ini merujuk kepada keupayaan sesuatu sumber menampung dan memenuhi keperluan penduduk dalam tempoh tertentu. Pelbagai masalah akan timbul sekiranya sumber alam tidak mampu menampung dan memenuhi keperluan penduduk seperti: a. Kekurangan makanan b. Kebuluran c. Wabak penyakit d. Krisis tenaga Gambar 2: Masalah kebuluran dan wabak penyakit boleh berlaku sekiranya sumber tidak diurus dengan baik Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi daya tampungan sumber alam terhadap perkembangan penduduk seperti yang dinyatakan berikut: a. Kuantiti dan kualiti sumber alam yang ada b. Pengurusan sumber yang cekap c. Kawalan terhadap penduduk
d. Penggunaan teknologi. Manusia meneroka sumber bagi pelbagai tujuan. Antaranya adalah untuk memenuhi permintaan terhadap bekalan bahan mentah di dalam industri, membekalkan sumber keperluan makanan, minuman dan sebagainya, menjana pendapatan negara, menyediakan peluang pekerjaan, pembangunan bandar baru, pembangunan system pengangkutan, bahan uji kaji teknologi, mendapatkan sumber tenaga untuk pelbagai keperluan harian dan domestic selain turut menjadi sumber dan pendapatan melalui kegiatan rekreasi dan pelancongan yang mampu memberi pulangan yang besar bukan sahaja kepada negara malah kepada rakyat. 5.4 KESAN PENEROKAAN SUMBER Aktiviti penerokaan sumber memberikan pelbagai kesan kepada alam. Antara kesan akibat daripada proses penerokaan sumber adalah seperti: a. Tekanan Terhadap Sumber Alam Tekanan terhadap sumber berlaku khususnya terhadap sumber tanah. Persaingan guna tanah untuk petempatan, pertanian, perindustrian, pembandaran, infrasturktur dan sebagainya menjadi semakin hebat apabila penduduk bertamabh. Kesannya saiz tanah secara relatifnya menjadi semakin sempit dan harganya semakin mahal. b. Kepupusan Dan Kehabisan Sumber Gambar 3: Petroleum merupakan sumber yang tidak boleh diperbaharui
Masalah kepupusan dan kehabisan sumber berlaku khususnya terhadap jenis sumber yang tidak boleh diperbaharui. Misalnya sumber mineral seperti sumber bahan api fosil, bijih timah, bijih besi, emas dan lain-lain akibat pengeluaran berlebihan bagi menampung keperluan penduduk yang bertambah dengan pesat. Dalam keadaan sumber tersebut tidak boleh diganti maka kesan jangka panjangnya ialah diancam kehabisan atau kepupusan. c. Pencemaran Dan Kerosakan Sumber Gambar 4: Pencemaran merosakkan alam sekitar Masalah pencemaran dan kerosakan sumber seperti sumber udara dan air akibat pertambahan industri, kenderaan, pembuangan sisa domestik yang biasanya sejajar dengan pertumbuhan penduduk yang pesat. Termasuk juga kesan hakisan tanih serta kejadian tanah runtuh. d. Berkurangnya Sumber-Sumber Makanan Masalah kekurangan sumber makanan yang berlaku khususnya yang berasaskan hasilhasil pertanian, sumber perikanan dan penternakan yang relatif dengan keperluan penduduk yang bertambah dengan pesat. Pengeluaran sumber-sumber makanan tersebut adalah tidak sepadan dengan pertambahan penduduk yang lebih pesat.
5.5 LANGKAH MENGATASI KESAN PENEROKAAN SUMBER ALAM Pengurusan sumber adalah perlu untuk memastikan sesuatu sumber berterusan dan mempunyai kelangsungan sumber yang baik. Pengurusan sumber melibatkan perancangan, pengawalan, pemeliharaan dan pemuliharaan bagi memastikan sumber dapat diurus dengan baik dan secara sistematik. Perancangan Dalam skop perancangan, penerokaan, pengeluaran dan penggunaan sumber perlu dirancang dengan cekap bagi memastikan sumber dapat dieksploitasi dengan sebaiknya. Perancangan yang dibuat juga perlu memastikan keperluan untuk menambah sumber bagi kegunaan masa hadapan. Gambar 5: Tenaga solar merupakan alternatif kepada tenaga fosil Pencarian sumber mineral gantian baru perlu dilaksanakan bagi menampung permintaan dan mengurangkan pergantungan kepada sumber mineral fosil. Contohnya penggunaan tenaga suria, hidroelektrik, nuklear, ombak dan angin dapat menggantikan sumber tenaga fosil. Pengawalan Pengawalan atau pengawasan dan penentuan dimana kuantiti pengeluaran dibuat selaras dengan keperluan yang diperlukan oleh manusia. Pengawalan di kawasan pengeluaran dilakukan dengan pemantauan oleh pihak berkuasa secara kerap bagi mengelakkan penyelewengan berlakuu.
Pengawalan cara pengeluaran sumber juga dilakukan di mana kaedah pengeluaran dilakukan dengan cara yang betul bagi mengelakkan sumber lain mendapat kesan sewaktu sumber dieksploitasi. Sebagai contoh, sewaktu menangkap ikan di laut dalam, penggunaan kaedah pukat tunda dielakkan bagi mengelak ikan-ikan kecil yang sedang membesar turut ditangkap sekali gus member peluang kepada ikan kecil untuk terus hidup. Pemeliharaan Pemeliharaan merupakan suatu usaha untuk mengekalkan sumber semulajadi. Contohnya sumber hutan yang berkurangan cuba diatasi melalui pewartaan Taman Negara. Pemeliharaan kualiti air, udara, tanih, dan ekosistem untuk menjamin kesejahteraan hidupan dalam lapisan Biosfera. Pemuliharaan Pemuliharaan merupakan satu usaha untuk memperbaiki dan memulihkan kawasan atau sumber yang telah diteroka. Sebagai contoh, amalan silvikultur dalam bidang perhutanan mampu mengekalkan populasi hutan, memperbaiki kesan hakisan. Gambar 6: Benih pokok untuk penanaman semula hutan
Selain daripada mengenal pasti langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengurus sumber, strategi juga perlu dibentuk bagi memastikan tahap kesinambungan sumber alam terus bertambah baik dan efisien penggunaannya. Antara strategi yang dirangka dalam pengurusan sumber adalah seperti berikut: a. Usaha meningkatkan aras keberkesanan penggunaan sumber b. Usaha meningkatkan guna semula sumber c. Usaha penggunaan teknologi baru dalam mengurus sumber Usaha mengurus sumber agar dapat melindungi alam sekitar dari kesan penerokaan sumber ialah : a. Deklarasi di Stokholm (1972), semua negara diminta menghadkan aktiviti penebangan dan pembalakan hutan serta mengawal pencemaran. b. Perisytiharan Langkawi ditubuhkan dalam mesyuarat anggota Komanwel (1989). Negara-negara komanwel bersetuju memberikan bantuan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar mengikut keupayaan. c. Forum Global dalam Sidang Kemuncak Bumi (World Summit Rio de Jenerio 1992) dianjurkan oleh 6000 buah NGO dunia untuk menyelamatkan alam sekitar bumi dari mengalami kemusnahan 4.6 SOALAN TUTORIAL 1. Jelaskan secara ringkas tentang pengurusan sumber alam dengan cekap. 2. Bincangkan perhubungan di antara teori Maltus dengan sumber. 3. Terangkan kesan-kesan penerokaan sumber galian, hutan dan air akibat daripada pertambahan penduduk. 4. Huraikan dan jelaskan tentang langkah mengatasi kesan penerokaan sumber alam.
4.7 RUJUKAN Abdul Majid Hassan. (1994), Population Geography.New Delhi. Charlier, R.H. & de Meyer, C.P. (1998). Coastal Erosion: Response and Management. Springer Elam, E. & Milner, J. (2001). A2 in a week: Geography. Letts Educational Ltd, London Gilluly, J., Waters, A.C. & Woodford, A.O. (1989). Prinsip-prinsip geologi: Jilid 1. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. H.R. Jowes (1990), Population Geography. Paul Champ, London. Jabil Mapjabil. 2007. Seminar Kebangsaan Geografi Dunia Tanpa Sempadan. http:// bill @ USM.my Jones, H.(1990). Population Geography. Paul Champ, London. Katiman Rostam, Noraziah Abdul Yaakub, Mohd Jahi Mokhtar Jaafar. 2000. Alam, Manusia dan Pembangunan Di Malaysia. Bangi : Penerbit UKM. Ms 74 84. Rosnah Talib. (1988),Geografi Penduduk dan Negara Membangun,Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Usman Haji Yakoob. (1989). Prinsip Kajian Kependudukan,Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Weeks, J.R (2005).Population An introduction to concepts and issues Thomson, Belmont.