Tanggungjawab sosial Korporat (CSR)
Latar Belakang CSR di Unit Biodiversiti,IBS Secara umumnya tanggungjawab sosial korporat atau Corporate Social Responsibility (CSR) bermaksud kewajipan pengurusan sesebuah organisasi untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan yang akan membantu dalam kebajikan dan kebaikan kepada masyarakat dan juga organisasi. CSR juga merupakan komitmen bagi mempertingkatkan kesejahteraan rakyat serta meningkatkan imej organisasi. CSR mampu memberikan satu laluan yang kondusif dan efektif kepada Unit Biodiversiti,IBS dalam mempromosi produk. Menerusi program-program CSR yang akan dilaksanakan, usaha untuk memperkenalkan Unit Biodiversiti dan juga Taman Konservatori, IBS sebagai sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab serta mempelopori gerakan hijau dan mesra alam dapat dilaksanakan. Beberapa aktiviti kesedaran akan dianjurkan bagi menyebarkan maklumat kepada orang awam.
Beberapa modul telah dirangka bagi memperkenalkan Taman Konservatori, Institut Biosains sebagai sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab serta membudayakan amalan hijau dalam kehidupan sekaligus menyokong Rancangan Malaysia Kesebelas (2016-2020) untuk mengimbangi pelepasan karbon dioksida sebanyak 40 peratus. Program penghijauan Taman Konservatori ini juga adalah sebahagian usaha menyokong aktiviti Go Green@UPM. Penganjuran aktiviti-aktiviti berkenaan turut akan mendapat kerjasama daripada badan-badan korporat gergasi tempatan mahupun antarabangsa serta institusi pengajian tinggi tempatan. Aktiviti-aktiviti CSR yang dijalankan di Unit Biodiversiti IBS, UPM dibahagikan kepada beberapa kategori seperti: Program Penanaman pokok Penajaan
Hubungi Kami Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, sila hubungi Unit Biodiversiti, Institut Biosains seperti berikut:- Talian Pejabat. : 03-8947 2175 / 2130 / 2198 Talian Faks : 03-8947 2101, E-mel : bio_d@ibs.upm.edu.my Untuk sebarang surat permohonan hendaklah dimajukan kepada pegawai di bawah: Dr. Mohd Firdaus Ismail (Penyelaras Unit Biodiversiti, Unit Biodiversiti, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang, Selangor Permohonan untuk melaksanakan aktiviti CSR perlulah dihantar kepada pihak Unit Biodiversiti, IBS sekurang-kurangnya sebulan awal.
a) Program Penanaman Pokok Taman Konservatori, Institut Biosains adalah sebuah kawasan pemuliharaan tumbuhan exsitu yang mengumpulkan koleksi tumbuhan asli Malaysia. Berkonsepkan taman botani, taman ini mengandungi 11 zon utama yang dibahagikan kepada koleksi tumbuhan aroma, tumbuhan ubatan, ulaman, halia, periuk kera, orkid hutan, keladi, rempah ratus, aquatik, buah-buahan hutan dan paku-pakis. Dengan adanya koleksi-koleksi sebegini ianya membantu universiti untuk memajukan penyelidikan dalam sektor pertanian, farmaseutikal dan hasilan semulajadi sekaligus memulihara keberkekalan spesies asli daripada kepupusan. Oleh yang demikian, atas konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR) Unit Biodiversiti berhasrat menjalinkan jaringan kerjasama bersama syarikat korporat dan agensi yang berminat membangunkan Taman Konservatori, Institut Biosains dengan menjadikan taman tersebut sebagai taman angkat atau pokok angkat. Dalam Program Penanaman Pokok ini, pihak kami telah membangunkan beberapa Modul yang boleh dipilih sebagai salah satu aktiviti CSR.
Diantara kandungan Modul yang terdapat dalam Program Penanaman Pokok adalah: Green 4 Life Menanam atau menyulam pelbagai spesis pokok bagi menyokong Rancangan Malaysia Kesebelas (2016-2020) iaitu untuk mengimbangi pelepasan karbon dioksoda sebanyak 40 peratus. Pokok yang akan ditanam melalui modul ini adalah tumbuhan umum. Green Therapy Menanam atau menyulam spesis tumbuhan wangian atau aromatik bagi tujuan memanfaatkan aroma tersebut (penghasilan minyak pati) selain dapat mewujudkan persekitaran yang menyenangkan dan menenangkan. Pokok yang akan ditanam melalui modul ini adalah pokok kenanga, kemboja, melati, nilam, sundal malam, serai wangi, limau purut dan sebagainya. Green Exotic Menanam atau menyulam spesis tumbuhan liar yang mana spesisnya sukar ditemui dan diancam kepupusan. Pokok yang akan ditanam melalui modul ini adalah seperti periuk kera, orkid hutan, paku pakis, dan sebagainya.
UBD Floral Calendar Merupakan aktiviti sambutan bulanan bertemakan zon-zon yang terdapat di Taman Konservatori, Institut Biosains. Zon-zon yang akan diraikan di setiap bulan adalah berbeza seperti berikut: BULAN TEMA Januari Februari Mac April Mei Jun Julai Ogos September Oktober November Disember Tacca Rosa Nephenthes Eurycoma Labisia Jasminum Cananga Hibiscus Arundina Vallaris Polianthes Magnolia UBD floral calendar adalah merupakan modul yang bertemakan bunga yang akan diraikan setiap bulan. Pelbagai aktiviti boleh dijalankan sempena bulan-bulan yang akan diraikan seperti aktiviti Penanaman pokok secara gotong royong (Go Green), Kursus dan Bengkel berkaitan Tumbuhan, Jualan anak pokok dan produk hasil ladang, dan sebagainya.
b) Penajaan Penajaan ataupun sumbangan berbentuk infrastruktur adalah seperti wakaf, bangku, meja, kiosk, kelengkapan nurseri ataupun menambahbaik laluan pejalan kaki. Penajaan ataupun sumbangan berbentuk cek atau tunai untuk aktiviti penanaman pokok juga digalakkan. Penglibatan sukarelawan yang akan menanam pokok terdiri daripada kakitangan dan mahasiswa Universiti Putra Malaysia, kanak-kanak sekolah dan juga masyarakat setempat. Bagi penajaan pokok, pihak penaja boleh memilih pokok mengikut Zon yang terdapat di Taman Konservatori. Taman ini mengandungi 11 zon utama yang dibahagikan kepada koleksi tumbuhan aroma, tumbuhan ubatan, ulaman, halia, periuk kera, orkid hutan, keladi, rempah ratus, aquatik, buah-buahan hutan dan paku-pakis. Penajaan adalah termasuk pembayaran terhadap penyelidik yang melakukan pengecaman dan penamaan pokok