UNIVERSITI TUN HUSSEIN ONN MALAYSIA UTHM/PP/100-6/3 JLD 2 ( 07 ) 28 Ogos 2012 PEKELILING PENGURUSAN BIL. 2 TAHUN 2012 PELAKSANAAN PEMERIKSAAN KESIHATAN BAGI PELANTIKAN KE DALAM PERKHIDMATAN DI UNIVERSITI TUN HUSSEIN ONN MALAYSIA 1.0 TUJUAN Pekeliling Pengurusan ini bertujuan untuk memaklumkan bahawa Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Bilangan 1 Tahun 2012 bertarikh 20hb. Mac 2012 telah bersetuju meluluskan cadangan menerima pakai Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 15 Tahun 2011 Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkaitan Pelaksanaan Pemeriksaan Kesihatan Bagi Pelantikan Ke Dalam Perkhidmatan di Universiti Tun Hussein Malaysia. 2.0 LATAR BELAKANG 2.1 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 menetapkan setiap calon yang dilantik ke dalam perkhidmatan awam disyaratkan untuk diperiksa dan diperakui sihat untuk berkhidmat oleh pengamal perubatan berdaftar. 2.2 Bagi memastikan pemeriksaan kesihatan yang dilaksanakan lebih teratur dan selaras dengan perlaksanaan Sistem Saraan Malaysia yang telah ditambah baik, dasar dan tatacara pemeriksaan kesihatan perlu diperjelas dan diseragamkan. 1
3.0 DEFINISI 3.1 Bagi tujuan Pekeliling Pengurusan ini: Calon bermaksud seseorang yang telah ditawarkan pelantikan secara tetap, sementara atau kontrak oleh Suruhanjaya; Ketua Jabatan bermaksud seseorang pegawai yang mengetuai sesuatu jabatan atau Ketua Perkhidmatan, mengikut mana-mana yang berkenaan, atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa melaksanakan tugas Ketua Jabatan atau Ketua Perkhidmatan. Dalam konteks Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Ketua Jabatan merujuk kepada Pendaftar; Pegawai bermaksud pegawai yang sedang berkhidmat yang dilantik ke jawatan baru oleh Suruhanjaya; Pengamal Perubatan Berdaftar bermaksud pengamal perubatan yang didaftarkan di bawah Akta Perubatan 1971 [Akta 50] sama ada pegawai perubatan kerajaan atau swasta; Suruhanjaya bermaksud Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Suruhanjaya Pasukan Polis dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran atau manamana pihak yang diberi kuasa secara sah untuk melantik seseorang berkhidmat dengan mana-mana agensi awam di bawah bidang kuasa Suruhanjaya berkenaan. Dalam konteks Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, suruhanjaya merujuk kepada Jawatankuasa Pemilih. 2
4.0 PELAKSANAAN 4.1 Dasar bagi pemeriksaan kesihatan bagi pelantikan ke dalam perkhidmatan di Universiti ini adalah seperti berikut: (a) calon yang akan dilantik ke dalam Perkhidmatan Universiti hendaklah menjalani pemeriksaan kesihatan dan diperakui sihat untuk berkhidmat; (b) pegawai yang telah menjalani pemeriksaan kesihatan semasa di jawatan terdahulu perlu menjalani semula pemeriksaan kesihatan apabila dilantik ke jawatan baru; (c) pengecualian pemeriksaan boleh dipertimbangkan sekiranya pemeriksaan terdahulu telah dilaksanakan dalam tempoh kurang dari dua belas (12) bulan; (d) bagi maksud subperenggan 4.1(a) dan 4.1(b), pemeriksaan kesihatan hendaklah dijalankan oleh pengamal perubatan berdaftar (tidak terhad di Pusat Kesihatan Universiti sahaja); (e) pemeriksaan kesihatan hendaklah dibuat selepas calon/ pegawai menerima surat tawaran pelantikan dan laporan pemeriksaan kesihatan perlu dikemukakan kepada Ketua Jabatan pada tarikh melapor diri bertugas; (f) sekiranya calon tidak dapat mengemukakan laporan pemeriksaan kesihatan pada tarikh lapor diri bertugas yang diarahkan, Ketua Jabatan tidak boleh menerima pegawai melaporkan diri bertugas. Sebaliknya, calon perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan mengemukakan laporan tersebut semasa melapor diri bertugas dalam tempoh yang ditetapkan oleh Suruhanjaya; 3
(g) bagi pegawai sedang berkhidmat, sekiranya laporan pemeriksaan kesihatan tidak dapat dikemukakan pada tarikh melapor diri yang diarahkan, pegawai hendaklah memohon penangguhan melapor diri kepada Ketua Jabatan baru. Pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan oleh pegawai dengan kadar segera. Sekiranya pegawai diperakui oleh pengamal perubatan berdaftar mengalami masalah kesihatan, pegawai hendaklah merujuk kepada Suruhanjaya untuk mendapatkan nasihat mengenai pelantikannya; (h) Suruhanjaya boleh membatalkan tawaran pelantikan jika calon/ pegawai diperakui mengalami masalah kesihatan oleh pengamal perubatan berdaftar. Mana-mana calon/ pegawai yang telah mula berkhidmat boleh dibayar apa-apa emolumen bagi tempoh perkhidmatannya; (i) pemeriksaan kesihatan mestilah menggunakan Borang Pemeriksaan Perubatan yang ditetapkan oleh pihak Universiti; dan (j) kos pemeriksaan kesihatan adalah ditanggung sepenuhnya oleh calon/ pegawai. 4.2 Walaupun seseorang pegawai yang sedang berkhidmat telah mematuhi syarat di perenggan 4.1, Ketua Jabatan pada bila-bila masa boleh mengarahkan pegawai untuk menjalani pemeriksaan kesihatan atau mengemukakan maklumat kesihatan yang telah disahkan oleh pengamal perubatan berdaftar apabila terdapat keperluan oleh Ketua Jabatan untuk mengetahui status kesihatan pegawai supaya pegawai dapat dinasihati mengenai perkhidmatannya. Bagi tujuan ini, pihak Universiti akan menanggung kos pemeriksaan berkenaan. 4
5.0 KUATKUASA PERATURAN Pekeliling Pengurusan ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012. Sekian, terima kasih. "DENGAN HIKMAH KITA MENEROKA" Yang benar, SULAM BIN HAMID Pendaftar 07-4537100 s.k - Y. Bhg. Dato Naib Canselor - Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) - Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) - Penolong-Penolong Naib Canselor - Dekan-Dekan Fakulti - Pengarah-Pengarah Pejabat / Pusat - Ketua-ketua Pejabat /Pusat /Unit SH/myh/mfaa/15.08.12/PekelilingPengurusan 5