SIARAN AKHBAR UNTUK SIARAN SERTA MERTA PNS MENGGALAKKAN KOPERASI MENCEBURI PERNIAGAAN FRANCAIS KUALA LUMPUR, 7 MAC 2014 Dalam usaha untuk terus merancakkan perkembangan industri francais negara, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) terus proaktif dengan mengambil langkah menggalakkan koperasi menceburi perniagaan francais. Usaha ini adalah selari dengan seruan YAB Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato Seri Najib Tun Abdul Razak yang mengumumkan beberapa strategi untuk memperkasakan ekonomi yang antara lainnya ialah fokus kepada modal insan, pemilikan ekuiti pengukuhan pemilikan asset bukan kewangan dan memperhebatkan keusahawanan dan perniagaan bumiputera. Bagi merealisasikan hasrat ini, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan juga peneraju industri francais negara, telah memeterai Perjanjian Persefahaman bersama
Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) semasa Hari Koperasi Negara 2013 yang lalu. Perjanjian di tandatangani oleh YBhg Dato Syed Kamarulzaman b Dato Syed Zainol Khodki Shahabudin, Pengarah Urusan PNS dengan YBhg Datuk Nik Ali Mat Yunus, Pengerusi Eksekutif SKM. Sesi MOU ini disaksikan oleh YB Dato Hasan b Malek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. PNS dan SKM adalah dua buah agensi yang berada di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Kedua-duanya menggalakkan pertumbuhan usahawan samada dalam bidang francais dan koperasi. Kerjasama ini memberi peluang kepada PNS untuk memberi taklimat peluang perniagaan francais, bimbingan, menyediakan latihan dan menawarkan pembiayaan kepada koperasi dan anggota koperasi yang berminat membuka perniagaan francais. Manakala, SKM sebagai sebuah badan berdaftar yang memantau perkembangan koperasi negara akan mengenal pasti koperasi-koperasi yang berdaya saing dan berdaya maju untuk dijadikan sebuah syarikat francais. Pengarah Urusan PNS, Dato Syed Kamarulzaman b Dato Syed Zainol Khodki Shahbudin berkata, Koperasi-koperasi ini mempunyai pilihan samada memilih perniagaan francais sedia ada atau menukar perniagaan mereka kepada sistem francais yang lebih teratur dan
sistematik. Sebelum termeterainya usahasama ini, terdapat 20 buah koperasi telah membuka perniagaan francais. Dan PNS mengharapkan agar lebih ramai lagi yang akan menceburi bidang ini selepas kerjasama di antara PNS dan SKM ini dimeterai Tambahnya lagi, Penglibatan Koperasi di dalam menceburi bidang francais ini akan mendedahkan ahli-ahli koperasi kepada sistem perniagaan yang lebih sistematik di dalam menjana keuntungan bagi kebaikan ahli-ahlinya. Semoga melalui usaha sama ini, perniagaan francais mampu merealisasikan impian menghasilkan negara berpendapatan tinggi dan memberi manfaat kepada ahli-ahli koperasi. Malahan, di samping membuka peluang perniagaan, ia juga menawarkan peluang pekerjaan termasuk untuk ahli koperasi sendiri. Sehingga Disember 2013, sebanyak 833 buah koperasi telah didaftarkan dengan modal syer dan yuran sebanyak RM286.3 juta serta aset berjumlah RM489.8 juta. Perangkaan ini menunjukkan gerakan koperasi mempunyai kekuatan dari segi keanggotaan dan bidang ekonomi yang boleh digemblengkan bersama-sama sistem francais. Justeru, PNS melalui Seksyen Pemasaran Francais telah melakukan beberapa siri jelajah bersama-sama SKM semenjak tahun lepas bagi memberi pendedahan maklumat kepada operator koperasi. Tambah Dato Syed Kamarulzaman lagi, Melalui maklum balas yang diterima daripada para peserta, bidang yang menjadi pilihan koperasi
dalam perniagaan francais setakat ini ialah perniagaan berbentuk perkhidmatan dobi, perkhidmatan perhotelan dan perkhidmatan pajak gadai Islam. Malah, data turut menunjukkan, perniagaan francais dalam bidang kewangan sudah lama bertapak di dalam koperasi. PNS rasa kagum melihat perkembangan sistem francais Ar-Rahnu X change Bank Rakyat yang berjaya menarik minat 39 koperasi menjadi francaisi dengan 41 francais seluruh Malaysia. Menurutnya lagi, sebanyak 10 buah francais baru Ar-Rahnu XChange akan beroperasi pada tahun 2014. Di anggarkan, dalam jangkamasa dua (2) tahun, perniagaan Ar-Rahnu ini akan dapat memberi keuntungan minima sebanyak RM50,000.00 sebulan. Bagi tahun 2014, PNS dan SKM mensasarkan lebih banyak lagi koperasi akan menceburi bidang pernigaan francais. PNS yakin, kesan langsung daripada usaha penggalakkan perniagaan francais kepada operator koperasi akan meningkatkan lagi bilangan koperasi dan sekaligus memberi pulangan kepada anggota koperasi itu sendiri. Menerusi kerjasama dengan SKM ini, PNS yakin usaha untuk mempelbagaikan sumber pendapatan masyarakat khususnya anggota koperasi dapat menjadi realiti.
Untuk urusan media, sila hubungi: Hamidah Ibrahim, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat melalui emel, hamidah.ibrahim@pns.com.my atau hubungi 019 3886207. ----------------------------------------------------------------------------------------------- PERBADANAN NASIONAL BERHAD (PNS) Perbadanan Nasional Berhad (PNS) merupakan agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang bertanggungjawab di dalam pembangunan industri francais negara. Ditubuhkan pada 29 November 1969, PNS komited untuk membangunkan industri francais melalui program pembangunan francais tempatan, pembiayaan, latihan dan pembelajaran, pemantauan dan khidmat nasihat, promosi, pelaburan francais dan jalinan kerjasama melalui kepakaran dalam memberikan servis serta skim pembiayaan untuk usahawan berpotensi yang berminat di dalam industri francais. Beribu pejabat di Menara PNS di Bangsar South City, Bangsar, PNS juga mempunyai lima (5) pejabat di wilayah koridor iaitu di Wilayah Pantai Timur, Wilayah Utara, Wilayah Iskandar Johor, Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak bersedia dalam menjalankan tanggungjawabnya untuk melahirkan lebih ramai francaisor dan francaisi bertaraf antarabangsa.