TEKS UCAPAN YANG HORMAT PROFESOR DATO DR. DAING NASIR IBRAHIM NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG SEMPENA MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL KOPERASI UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG (KOSISWA UMP) 2014 PADA HARI SELASA, 25 FEBRUARI 2014, PUKUL 10.00 PAGI DI DEWAN TUN FATIMAH,KOMPLEKS PENTADBIRAN UTAMA, UMP KAMPUS GAMBANG SALUTASI Saudara pengacara majlis, Yang Berhormat Dato Shahiruddin Abdul Moin, Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri Pahang; Yang Berbahagia En Mohamad Zawawi Mahmud, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Pahang, Yang Berbahagia Tuan Haji Abdul Kadir Aljailani Sharrif, Timbalan Pengarah. Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Pahang; 1
Rakan-rakan saya dari UMP: Datin Hajah Mazita Mokhtar, Timbalan Pengarah Pusat Keusahawanan UMP; Dekan-dekan, Pengarah-pengarah dan Ketua-ketua Pusat Tanggungjawab; Saudara Muhamad Hanif Bin Rafie, Pengarah Karnival Koperasi Siswa UMP 2014; Tuan-tuan dan puan-puan, Mahasiswa mahasiswi yang dikasihi sekalian; Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia. 2
KATA PEMBUKA 1. Alhamdulillah, sukalah saya merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Ta ala kerana dengan limpah rahmat, kurnia dan izin-nya, maka kita dapat bertemu dalam Majlis Perasmian Karnival Koperasi Siswa Universiti Malaysia Pahang atau KOSISWA UMP 2014 pada pagi ini. 2. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan tetamu kehormat kita, Yang Berhormat Dato Haji Shahiruddin Abdul Moin selaku Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri Pahang kerana sudi hadir bagi menyempurnakan perasmian KOSISWA 2014 ini. 3. Tidak ketinggalan, saya bagi pihak pengurusan UMP turut merakamkan ucapan penghargaan kepada rakan-rakan dari Suruhanjaya Koperasi Negeri Pahang, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan Negeri Pahang dan pihak media atas sokongan terhadap penganjuran KOSISWA 2014 ini. 3
PEMBUDAYAAN KEUSAHAWANAN 4. Yang Berhormat Dato, tuan-tuan dan puan-puan, Sebagai antara acara utama yang mengisi calendar Koperasi Siswa UMP, KOSISWA 2014 dianjurkan secara menyeluruh oleh para mahasiswa Universiti ini, dengan bimbingan Pusat Keusahawanan UMP. 5. Pelancarannya yang akan disempurnakan sebentar lagi menandakan permulaan Karnival ini di UMP Kampus Gambang sehingga 28 Februari, dan seterusnya diikuti pula dengan siri penganjurannya di UMP Pekan mulai 3 hingga 7 Mac 2014. 6. Sebagai medium di mana kewujudan Koperasi Siswa UMP dapat dipromosikan kepada warga Universiti ini khasnya dan masyarakat amnya, KOSISWA 2014 juga adalah sebahagian daripada inisiatif penggalakan budaya niaga dan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa UMP. 4
7. Saya difahamkan bahawa sehingga kini, terdapat lebih 150 koperasi di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Walaubagaimanapun, jumlah itu masih boleh dianggap kecil berbanding dengan jumlah keseluruhan IPT yang beroperasi di seluruh negara iaitu lebih 600 buah. 8. Dalam konteks tersebut, pihak pengurusan UMP mengambil serius saranan Kerajaan mengenai kepentingan gerakan koperasi sebagai antara penjana utama ekonomi yang membolehkan Malaysia berdaya saing untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. 9. Maka, Pelan Strategik UMP 2011-2015 yang kini sedang rancak dilaksanakan telah turut mengenal pasti Kelestarian Kewangan sebagai salah satu daripada empat Bidang Keberhasilan Utama (KRA) Universiti ini. 5
10. Oleh yang demikian, penubuhan Koperasi Siswa UMP adalah antara inisiatif yang dilihat menambah nilai kepada KRA Kelestarian Kewangan tersebut yang berpotensi untuk dikembangkan pula kepada agenda-agenda tambahan yang berkaitan pada masa hadapan. 11. Sejak penubuhannya secara rasmi pada 20 April 2011, Koperasi Siswa Universiti Malaysia Pahang Berhad telah giat menganjurkan pelbagai aktiviti yang dikoordinasikan bersama Pusat Keusahawanan UMP. 12. Dengan pembudayaan urus tadbir gerakan koperasi berteraskan akauntibiliti dan ketelusan, Koperasi Siswa UMP dilihat aktif dalam memberi pendedahan dan latihan berkaitan pengurusan perniagaan kepada para ahlinya sebagai kerjaya alternatif setelah tamat pengajian kelak. 6
13. Aktiviti-aktiviti seperti Makmal Keusahawanan dan Program Keusahawanan Takaful yang sedang dilaksanakan akan disusuli pula dengan inisiatif lain yang telah diranka bersama oleh Koperasi Siswa UMP dan Pusat Keusahawanan Universiti ini. 14. Dengan sokongan pihak Kerajaan Negeri Pahang dan agensi seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia serta badan swasta dan korporat, saya percaya bahawa Koperasi Siswa Universiti Malaysia Pahang Berhad boleh bergerak maju untuk dijajarkan pada koordinat strategik yang memberi nilai daya saing tinggi kepadanya, Insya-Allah. KATA PENUTUP 15. Yang Berhormat Dato, tuan-tuan dan puan-puan, Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin merakamkan setinggitinggi ucapan tahniah dan penghargaan kepada pihak Pusat Keusahawanan UMP dan Koperasi Siswa Universiti Malaysia Pahang Berhad atas komitmen yang telah diberikan bagi menjayakan KOSISWA 2014. 7
16. Semoga usaha yang telah digerakkan ini memberi manfaat besar kepada warga mahasiswa UMP secara keseluruhannya, khususnya dalam agenda pembudayaan semangat niaga dan keusahawanan terhadap mereka. Sekian, Wabillahitaufiq wal hidayah, assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 8